Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Khamis, Mac 21, 2013

Pentingnya prinsip dalam berpolitik


Mutakhir ini saya menjadi meloya apabila ada orang agama yang berjawatan mengeluarkan kenyataan mereka dilamar oleh parti-parti tertentu untuk bertanding dalam pilihan raya. Bukan satu parti, tetapi banyak parti yang melamar. Mereka memanggil media untuk mengeluarkan kenyataan akhbar. Ada yang berkata, tidak tahu lagi mana satu yang mahu dipilih. Hebat sungguh mereka? Sudah lengkapkan diri dengan ilmu dan permainan politik? Jika belum, lebih baik bersedia. Bukan apa, takut hanyut. Pada saya, lebih baik senyapkan dahulu, bila tiba masanya baharulah umumkan. Lebih beretika dan manis.

Sepatutnya sebagai orang agama, tidak perlu kecoh. Tidak perlulah memanggil media, menunjukkan seolah-olah kita bagus. Menang belum tentu lagi. Saya bimbang, jika kalah nanti, kita tidak ke mana-mana. Sekadar menjadi pencacai dan balaci sehingga hilang ciri-ciri keagamawan atau keustazannya. Perkara ini sudah berlaku di depan mata.

Perlu diingat, maksud politik hari ini bukan hanya merujuk kepada kuasa, pemimpin dan negara. Politik juga dirujukkan sebagai sesuatu yang sukar dijangkakan. Macam-macam boleh terjadi. Yang dirancang, tidak menjadi, yang tidak dirancang, menjadi. Maka, tidak hairan jika yang baik bertukar jahat, yang jahat bertukar baik, tidak kurang yang maintain. Pendek kata, politik sesuatu yang sukar untuk dijangkakan.

Saya amat mengalu-alu penglibatan orang agama dalam politik. Peranan mereka penting untuk memimpin negara ke jalan yang diredhai dan seterusnya memastikan pemimpin atau penguasa tidak tersasar. Dalam sejarah, ada agamawan yang menjadi pemimpin tertinggi negara.

Cuma, mereka mesti berani berkata benar walaupun amat pahit. Satu kebimbangan saya adalah mereka menjadi tidak berani apabila mendapat kuasa dan diberikan jawatan. Jawatan menjadi mereka takut untuk menegur dan menjalan kerja-kerja para anbiya, amar makruf nahi mungkar. Jawatan telah membutakan mata hatinya.

Lebih malang lagi, ada lebih garpu daripada sudu atau over. Lupa tugas sebenar. Hanyut dengan kuasa dan kekayaan. Ada yang masuk UMNO, menjadi lebih UMNO dari orang UMNO sendiri atau lebih PAS dari PAS. Sehingga sampai ke peringkat jahil, kafir-mengkafir, tidak boleh makan sembelihan UMNO kerana sudah menjadi bangkai dan sebagainya. Apa yang UMNO/PAS/PKR buat, semuanya betul (yes). Ini menjadi ahli parti tersebut menjadi meluat melihat tindak-tanduk agamawan tersebut. Lebih-lebih lagi ada yang bercita-cita menjadi menteri itu dan ini, jika menang PRU 13.

Agamawan perlu tahu tugas hakiki mereka apa. Saya mahu agamawan tetap dihormati sama ketika berkuasa atau tidak. Justeru, saya ingin mencadangkan beberapa perkara berikut kepada agamawan yang ingin menyertai politik, agar mereka terus dihormati sama ada ketika berkuasa atau sudah tidak berkuasa.

Pertama, agamawan mesti mempunyai prinsip. Kemasukan mereka ke dalam politik adalah untuk melangsung kerja-kerja Nabi, amar makruf nahi mungkar. Mereka mesti berani menegur pemimpin jika ternyata telah terlanjur.

Kedua, mengIslamisasikan parti yang masih belum Islam sepenuhnya. Agamawan adalah pendakwah. Betulkan ahli-ahli parti yang masih jahil atau terlalu ekstrem. Tunjukkan kepada mereka jalan yang benar dan diredhai.


[Sumber: Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah]

Ketiga, agamawan mesti kelihatan berilmu dan jujur pada ilmu. Pendapat dan pandangan mereka tegas dan berhemah. Jangan terlalu mudah menjatuhkan hukum atau mengkafirkan orang lain sesama Muslim. Mungkin orang yang kita tidak suka, itu lebih baik daripada kita atau Allah suka. Begitulah sebaliknya, apa yang kita suka, belum tentu Allah suka. Apa yang penting, pastikan mereka yang jahil mengenali ilmu fardu ain sebelum fardu kifayah.

Keempat, tunduk kepada kebenaran dengan kembali kepadanya ketika bersalah. Janganlah kita terlalu bersikap keduniaan. Agamawan yang hina adalah mereka yang menyembunyikan ilmu dan kebenaran, cintakan dunia dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya, mengikut hawa nafsu, berkeinginan untuk mendampingi dan mendekati pemerintah, berpura-pura di dalam masyarakat, menjanjikan akhirat dengan dunia mereka dan di dalam kehidupan mereka melebihkan perkara-perkara dunia serta lainnya. Agamawan mesti mengakui bahawa mereka bukannya maksum. Mereka tidak boleh lari dari melakukan kesilapan yang tidak disengajakan.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: Ulama itu ada 3 jenis. 1. Orang yang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) dan masyarakat juga hidup dengan ilmunya. 2, orang yang alim yang masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya tetapi dia sendiri membinasakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya). 3, orang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) tetapi orang lain tidak mengambil manfaat dari ilmunya (Riwayat ad-Dailami).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW mengingatkan lagi dalam sabdanya yang bermaksud; Sesungguhnya Allah Taala tidak menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabutkan sekaligus daripada manusia, tetapi Allah Taala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para ulama. Sehingga apabila sudah tiada para ulama, manusia akan melantik pemimpin mereka dari kalangan orang-orang yang jahil lalu mereka akan ditanya hukum sesuatu masalah maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain (Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi).

Kesimpulan, ingatlah, kuasa dan pangkat hanya alat, ia boleh datang dan pergi. Hari ini kita berkuasa, esok mungkin tidak. Biarlah kita mulia di dunia, mulia di akhirat.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...