Sabda Nabi S.A.W "Sampaikan dari Ku walau pun satu ayat"

Buku Pelawat

Topik Panas

Isnin, Julai 15, 2013

Kenali hadis palsu menerusi matan


Menyebarkan hadis palsu tanpa menerangkan tentang kepalsuannya adalah merupakan satu dosa yang amat besar. Penipuan dan bersekongkol dengan penipuan adalah dosa menurut ajaran Islam. Apatah lagi jika pembohongan itu menggunakan nama Allah dan RasulNYA. Kesannya besar dan bahaya. Mereka yang terpedaya dengan penipuan tersebut akan mengamalkan sesuatu yang disangkakan bersumber dari Tuhan sedangkan hakikatnya tidak demikian. Jika isi pembohongan itu sesuatu yang jelas bercanggah dengan hakikat fakta, ataupun sesuatu yang ‘lekeh’ maka Tuhan ataupun RasulNya akan dipersalahkan. Mungkin ia akan menghilangkan keimanan manusia terhadap ajaran agama.

Justeru itu, Islam mengharamkan sama sekali perbuatan mengadakan hadis palsu seperti penegasan Nabi s.a.w dalam hadis mutawatir:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.

Bukan sahaja mengadakan hadis palsu itu dosa besar, menyebarkannya juga berkongsi dosa besar yang sama. Dalam era teknologi ini, begitu mudah sesuatu hadis palsu itu tersebar. Menerusi sms, email, facebook, twitter dan pelbagai lagi, ramai yang terlibat dengan kegiatan dosa menyebarkan hadis palsu ini. Maka berhati-hatilah. Beberapa klik tanpa penelitian boleh membawa anda menjadi pendusta yang menggunakan nama Allah dan RasulNYa.

Mengkritik Matan

Pembaca internet juga terdedah kepada pelbagai sumber hadis palsu. Saya mengajar di USM kursus Analisa Kritis Matan Hadis untuk para pelajar ijazah tinggi. Saya rasa orang awam juga wajar dibekalkan sedikit sebanyak pengetahuan tentang analisa matan hadis.

Secara umumnya, hadis palsu dapat diketahui melalui dua cara; pertama: kajian terhadap sanad (rangkaian perawi). Kedua; kajian terhadap matan atau kritik teks (textual criticism). Untuk mengkaji para perawi adalah sesuatu yang bukan mudah melainkan mereka yang terbabit langsung dalam bidang hadis. Apakah ada cara untuk seseorang biasa mengagak sesuatu hadis itu mungkin palsu hanya dengan membaca matan (teks) sahaja? Maka di sini datang peranan naqd al-matn (kritik teks) atau kajian teks tadi.

Pengetahuan ini amat penting kepada para pengguna internet hari ini, kerana ia sekurang-kurang dapat menjadikan mereka berhati-hati apabila melihat ataupun mendengar teks hadis yang pelbagai. Jika pun mereka tidak dapat memutuskan kedudukan hadis-hadis tersebut, sekurang-kurangnya mereka akan menangguhkan dulu sebelum mempercayainya sehingga ternyata kedudukannya.

Ibn Qayyim

Ilmuan hadis yang terbilang iaitu Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) pernah ditanya apakah mungkin untuk mengetahui hadis palsu tanpa melihat kepada sanadnya? Untuk menjawab persoalan yang besar itu, beliau telah menghasilkan buku yang amat penting dalam sejarah ilmu mengkritik teks hadis iaitu karya beliau Al-Manar Al-Munif fi al-Sahih wa al-Da’if. Sesiapa yang berkemampuan membaca teks arab, saya mencadangkan mereka membaca buku ini bersama komentar yang dibuat oleh al-Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah. Bagaimana pun, bagi yang tidak menguasai, saya ingin memetik beberapa noktah menarik yang disebut oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam buku tersebut bersama sedikit ulasan.

Antara yang disebut oleh Ibn Qayyim; hadis palsu itu antara cirinya mengandungi unsur mujazafah iaitu berlebih-lebihan dalam penetapan pahala dan dosa. Perkara yang kecil diletakkan hukuman yang terlalu besar, ataupun ganjaran yang terlalu besar yang tidak munasabah. Contoh yang dibawa oleh Ibn Qayyim iaitu hadis palsu: “Sesiapa yang mengucap Lailaha illaAllah; Allah ciptakan kalimah itu menjadi seekor burung yang mempunyai 70,000 lidah, setiap lidah ada 70,000 bahasa yang beristighfar kepadanya”.(m/s 51. Halab, Syria: Maktabah al-Matbu‘at al-Islamiyyah)

Lojik

Antara ciri lain bagi hadis palsu ialah bercanggah dengan fakta yang nyata. Banyak contoh yang disebut oleh beliau; antaranya hadis palsu: “Terung itu ubat bagi segala penyakit”. Contoh lain: “Hendak kamu memakan kacang dal kerana ia berkat dan melunakkan jantung hati. Membanyak airmata dan ia disucikan oleh 70 nabi”. (m/s 52)

Antara lain beliau menyebut ciri hadis palsu itu ia kelihatan selekeh dan boleh dipersendakan. Banyak contohnya, antara yang disebut; hadis palsu “Jika beras itu lelaki nescaya dia seorang yang penyantun”. Contoh lain; “Hendaklah kamu memakan garam kerana ia ubat bagi 70 penyakit”. Contoh lain: “Tiada buah delima melainkan bijinya berasal dari syurga”. (m/s 55)

Contoh lain: “Sesiapa yang membela ayam jantan putih, maka dia tidak akan dihampiri oleh syaitan dan sihir”. Kemudian Ibn Qayyim membuat kesimpulan tentang hadis ayam jantan: “Kesemua hadis ayam jantan adalah dusta kecuali satu hadis iaitu “Sesiapa yang mendengar kokokan ayam jantan hendaklah dia memohon kurniaan dari Allah kerana ia melihat malaikat” (riwayat Bukhari dan Muslim). (m/s 56)

Gambar Hiasan

Dalam masyarakat melayu, terdapat juga mereka yang mempercayai kelebihan ayam jantan putih. Kepercayaan itu mungkin berasal dari hadis-hadis palsu yang seumpama ini.

Canggah Sumber Sahih

Ciri hadis palsu yang lain yang dinyatakan oleh Ibn Qayim apabila sesuatu hadis itu bercanggah dengan hadis sahih yang lain secara nyata. Ini seperti hadis-hadis palsu yang memuji orang yang bernama Muhammad ataupun Ahmad bahawa sesiapa bernama seperti itu tidak akan masuk neraka. Ini bercanggah dengan prinsip ajaran Nabi s.a.w yang menegas bahawa neraka itu bukan dapat dielakkan dengan nama dan gelaran sebaliknya dengan iman dan amalan soleh. (m/s 57)

Antara ciri palsu lain ialah hadis yang menyebut Nabi Khidir masih hidup. Kesemua hadis yang membawa maksud tersebut adalah palsu dan dusta. Kemudian al-Imam Ibn Qayyim mengemukan banyak hujah dari al-Quran dan al-Sunnah yang membuktikan bahawa cerita Khidir masa hidup sehingga kini adalah dusta dan palsu. (m/s 67-76)

Pelik

Contoh hadis palsu lain: “Pelangi di langit itu adalah tengkok ular yang berada di bawah Arsy”. Juga hadis palsu: “Jangan mandi air yang terdedah kepada matahari kerana ia menyebabkan sopak” (m/s 60)

Antara ciri hadis palsu ialah apabila terdapat dalamnya penetapan tarikh tertentu seperti pada tahun sekian dan sekian, pada bulan sekian dan sekian akan berlaku peristiwa itu dan ini. Ini ciri kepalsuan sesuatu hadis. Ini seperti hadis bahawa akan berlaku gerhana dalam Bulan Muharram kemudian berlaku peristiwa itu dan ini. (m/s 64).

Banyak hadis yang seperti ini tersebar dalam internet lalu dipercayai oleh mereka yang dangkal akal dan pengetahuan.

Antara ciri yang lain hadis yang seakan ucapan ahli perubatan, bukan ungkapan seorang nabi. Ini seperti hadis palsu: “Memakan ikan melemahkan jasad”. Contoh lain: “Ada seseorang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tiada anak. Nabi menyuruhnya memakan telur dan bawang”. Contoh lain: “Berikan isteri-isteri kamu memakan tamar semasa nifas”. (m/s 65). Banyak hadis yang seperti ini kadang-kala dibaca oleh mereka yang bergelar ‘ustaz dan ustazah’ yang tidak meneliti ilmu hadis ini. Para peniaga suka hadis- hadis seperti itu untuk melariskan peniagaan mereka.

Banyak lagi ciri-ciri yang disebut oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karya itu. Begitu banyak hadis-hadis palsu yang beliau sertakan sebagai contoh untuk pembaca. Tulisan saya ini sekadar memberikan kesedaran awal untuk mereka yang kurang memberikan perhatian dalam hal ini. Anda boleh rujuk juga beberapa artikel saya tentang hadis palsu sebelum ini. InshaAllah, selepas ini akan saya ikuti dengan beberapa coretan yang lain untuk membantu memahami isu hadis palsu ini.

 

[Oleh: Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin ]
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...